60 buah kereta sedan yang diguna penyeludup bahan bakar dilupus

60 buah kereta sedan yang diguna penyeludup bahan bakar dilupus

AZMAN Ismail (tengah) menunjukkan kereta dan kenderaan yang telah dirampas selepas digunakan untuk menyeludup bahan bakar ke Thailand semasa sidang media rampasan barangan kes di Stor Penyimpanan Barang Kes KPDN di Kandis, Bachok, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Sebanyak 60 buah kereta jenis sedan yang digunakan oleh penyeludup untuk menyeleweng bahan bakar subsidi iaitu petrol serta diesel ke negara jiran telah dilupuskan sepanjang tahun ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kesemua kenderaan itu dilupuskan menerusi kaedah jualan kepada pembeli barang lusuh.

Menurutnya, pada masa sama kenderaan tersebut turut dihadiahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kolej Vokasional untuk tujuan latihan.

“Rampasan kereta ini dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas pemeriksaan yang dilakukan KPDN Kelantan mendapati tangki tambahan diwujudkan untuk tujuan penyeludupan.

“Antara kereta yang kita rampas sepanjang operasi ialah Proton Wira, Iswara, Perodua Viva dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas sidang media rampasan barangan kes di Stor Penyimpanan Barang Kes KPDN di Kandis di sini hari ini.

Azman memberitahu, kerja-kerja pelupusan kereta tersebut dijalankan sebaik sahaja mahkamah menyelesaikan proses perlucutan hak ke atas kenderaan tersebut.

Katanya, sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2022 hingga kini sebanyak 726 buah kenderaan yang berkait dengan Akta Kawalan Bekalan 1961 telah disita.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 666 buah masih dalam siasatan untuk proses pelupusan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, sepanjang Januari hingga Oktober sebanyak 769 kes rampasan melibatkan Akta Kawalan Bekalan telah direkodkan.

Katanya, ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM4.3 juta.

“Selain itu kita turut menerima serahan kes daripada agensi penguat kuasa di sempadan iaitu Polis, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am, Kastam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya melibatkan nilai RM1.5 juta,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya