SINGAPURA: Lima negara Asia Tenggara bersetuju untuk berkongsi data dan maklumat penerbangan antara satu sama lain, bagi membantu meningkatkan keselamatan perjalanan udara.
Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani memorandum persefahaman kelmarin, dengan matlamat melancarkan rancangan itu menjelang akhir tahun ini, menurut kenyataan bersama pihak berkuasa penerbangan awam negara terbabit.
Perjanjian tersebut dimeterai ketika industri penerbangan kembali pulih selepas pandemik COVID-19, yang memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan di rantau ini.
Inisiatif ini dicadangkan tahun lalu, namun memerlukan masa untuk negara-negara terlibat mencapai persetujuan mengenai jenis data yang akan dikongsi serta menyusun protokol berkaitan kerahsiaan maklumat.
“Sebagai inisiatif pertama seumpamanya di rantau Asia-Pasifik, lima negara ini akan bekerjasama dan berkongsi data keselamatan yang telah dinyahidentifikasi serta maklumat keselamatan untuk mengenal pasti risiko dan trend keselamatan, serta membangunkan langkah mitigasi bagi menguruskan risiko dengan lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Tujuh kategori utama telah dikenal pasti untuk dikongsi, termasuk amaran pelanggaran, penyimpangan dari ketinggian yang ditetapkan oleh pengawal trafik udara dan pengaktifan sistem amaran di darat.
Laporan mengenai gelora udara yang teruk, angin kencang (windshear), perlanggaran burung dan pengangkutan barang berbahaya juga akan dikongsi.
Pihak Penerbangan Awam Thailand akan bertindak sebagai ‘pemegang amanah’ data, manakala rakan sejawatannya di Singapura akan menjadi ‘penganalisis data’, menurut kenyataan tersebut.
Katanya, data penemuan dan cadangan hasil daripada analisis maklumat tersebut tidak akan digunakan untuk menyokong siasatan mengenai kemalangan dan insiden serta tidak digunakan bagi tujuan hukuman atau penguatkuasaan undang-undang.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura, Han Kok Juan berharap lebih banyak negara akan menyertai inisiatif ini bagi memastikan keselamatan penerbangan yang lebih baik untuk orang awam yang melakukan perjalanan udara.– AGENSI