44 permohonan pembinaan DTRC diluluskan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

44 permohonan pembinaan DTRC diluluskan di Negeri Sembilan

J. ARUL Kumar (kiri) hadir pada Majlis Perasmian DTRC SejaTI Madani Mantin di Kampung Baru Mantin, Seremban hari ini.-UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejumlah 44 permohonan pembinaan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) telah diluluskan di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM4.2 juta kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, peruntukan geran itu disalurkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri menerusi Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan.

Jelas beliau, daripada jumlah berkenaan, Seremban merupakan daerah tertinggi daripada segi penerimaan permohonan iaitu melibatkan 17 permohonan disusuli Tampin dan Kuala Pilah masing-masing dengan lima permohonan. 

“Kemudiannya, Rembau (tiga); Jempol (enam) serta Port Dickson dan Jelebu masing-masing empat permohonan dengan maksimum penerimaan peruntukan geran sebanyak RM100,000.

“Di bawah sektor alam sekitar, kita menerima banyak permohonan daripada komuniti dan organisasi yang ingin melaksanakan DTRC di seluruh daerah di Negeri Sembilan dan DTRC Mantin ini adalah projek yang pertama siap menerusi peruntukan geran itu,” katanya pada Majlis Perasmian DTRC SejaTI Madani Mantin di Kampung Baru Mantin di sini, hari ini.

Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai dalam pada itu mengharapkan pembinaan DTRC  berkenaan akan memberikan peluang kepada masyarakat setempat mengambil bahagian dalam aktiviti kitar semula.

“Kita tahu daripada dahulu ada banyak cara digunakan tapi dengan adanya DTRC telah nampak peningkatan dari segi pengumpulan barangan kitar semula.

“Kesedaran itu semakin meningkat kerana setiap penghantaran barangan kitar semula mereka akan menerima bayaran mengikut setiap jenis barangan kitar semula tersebut,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN