JOHOR BAHRU: Seramai 35 penjaja yang menyertai festival makanan di bandar raya ini ditahan Jabatan Imigresen kerana berada dalam negara ini tanpa permit.
Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, mereka yang terdiri daripada 20 lelaki dan enam wanita Thailand serta lapan lelaki dan seorang wanita Indonesia ditahan dalam Op Selera pada pukul 8.30 malam kelmarin.
“Tindakan itu dibuat susulan maklumat awam yang diterima berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin serta terdapat penyalahgunaan pas lawatan sosial. Dalam operasi itu, seramai 102 warga asing dan warga tempatan telah diperiksa. Ketika pemeriksaan, terdapat warga asing cuba melarikan diri namun dapat dipatahkan pegawai terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, pihaknya mengeluarkan lima notis hadir ke pejabat kepada beberapa individu bagi membantu siasatan.
Kesemua warga asing berusia antara 19 hingga 55 tahun yang ditahan disiasat di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Jabatan Imigresen Johor turut akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah. – UTUSAN