PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan sambung reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua 24 ahli yang direman sebelum ini selama lima hari sehingga esok akan ditahan semula bersabit satu kertas siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Permohonan sambung reman akan dibuat terhadap 24 ahli termasuk kepimpinan tertinggi GISBH seperti CEO GISBH, isteri dan anak-anak bagi melengkapkan siasatan.
“Setakat ini kesemua 24 lagi ahli kepimpinan tinggi GISBH tidak ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata, setakat ini jumlah ahli GISBH yang masih dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah adalah seramai 93 orang.
“Seramai 34 orang lagi ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012),” katanya.
Pada 30 September lalu, Razarudin dilapor berkata, CEO GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali,direman lima hari lagi sehingga 4 Oktober ini untuk siasatan berkaitan satu laporan kes eksploitasi buruh paksa.
Menurutnya, kesemua direman berkait siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM (Pindaan) 2022.
“Mereka ditahan reman sekali lagi susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa di Cheras yang dieksploitasi suspek ketika bekerja di syarikat terbabit dan tidak menerima bayaran gaji,” katanya. – UTUSAN