20 'scammer' warga Taiwan, China didakwa - Utusan Malaysia

20 ‘scammer’ warga Taiwan, China didakwa

SEBAHAGIAN daripada 'scammer' warga asing yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 20 ‘scammer’ warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan mangsa, bulan lalu.

Kesemua lelaki berkenaan, Wu Wen Jung yang merupakan warganegara Taiwan dan 19 warga China, He Ne, Guang Liang, Jin Yi Hao, Zhang Wei, Liu Zhi Rong, Li Ya Xuan, Ran You, Zhang Shi Han, Zhao Run Qiang, Lu Ye Ri, Li Peng, Yu Liang, Liu Bing, Liu Lin, Li Jua Gang, Chen Kui Peng, Zhi Xiao Bo, Zhao Ke Yu dan Wang Yin Cheng yang berusia antara 21 hingga 36 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa memperdayakan mangsa melalui ‘love scam’ dan mendorong mangsa menyerahkan wang kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Saujana 2, Horizon Hill di Iskandar Puteri, pada 23 September lalu.

Kesemua tertuduh didakwa  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) kanun sama  yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nevin Ravichandran, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Goh Sze Han dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua orang penjamin warga tempatan, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar memaklumkan kesemua tertuduh ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Horizon Hill, Iskandar Puteri yang disyaki dijadikan sebagai ‘calling centre’ bagi tawaran kerja tidak wujud.

Kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran pekerjaan secara dalam talian yang menyasarkan warga asing sebagai mangsa.

Kumar berkata, modus operandi kumpulan itu ialah berhubung dengan mangsa secara dalam talian untuk mencari kenalan dan menggunakan taktik ‘love scam’ bagi memperdayakan mangsa menyertai pekerjaan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

“Mangsa yang berminat kemudian akan diberikan akses laman web yang kononnya memaparkan keuntungan yang diperoleh bagi setiap tugasan yang dilakukan. Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh walaupun telah membuat sejumlah bayaran seperti diarahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya