18 peserta bertarung pada PMDK Fight 3.0, dua tali pinggang jadi rebutan - Utusan Malaysia

18 peserta bertarung pada PMDK Fight 3.0, dua tali pinggang jadi rebutan

AHMAD Azdwan Abdullah (tengah) memegang tali pinggang kejuaraan PMDK Fight 3.0 dalam sidang akhbar di PMDK Arena, Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 18 peserta dari dalam dan luar negara akan bertarung pada Kejohanan PMDK Fight 3.0 di Dewan Datuk Seri Abdul Manan, Paya Besar di sini pada Sabtu ini, pukul 8.30 malam.

Kejohanan kali ketiga anjuran Persatuan Muay Thai Daerah Kuantan (PMDK) tersebut akan turut merebut dua tali pinggang utama iaitu YBS dan Asza Vapor.

Timbalan Presiden PMDK, Mizamri Mamat berkata, selain atlet Muay Thai dari dalam negara, kejohanan itu turut disertai peserta dari Thailand, Singapura dan Yaman.

“PMDK Fight 3.0 diteruskan penganjurannya selepas kejayaan siri pertama dan kedua yang mendapat sambutan cukup menggalakan daripada peminat Muay Thai.

“Kejohanan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk mencungkil dan memperkasakan bakat muda dalam sukan Muay Thai khususnya di Kuantan.

“Selain itu, kami ingin memastikan bakat-bakat ini diberi peluang menyertai program latihan yang komprehensif di bawah ‘School Muaythai’ dengan harapan mereka dapat menjadi wakil daerah dan negara suatu hari nanti,” katanya dalam sidang akhbar PMDK Fight 3.0 di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden PMDK, Ahmad Adzwan Abdullah berkata, persatuan itu sedang mempersiapkan atlet yang bakal mewakili Pahang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Katanya, setakat ini, PMDK mempunyai 20 atlet, termasuk tiga wanita berusia antara 14 dan 16 tahun sedang menjalani latihan di PMDK Arena, Jalan Wong Ah Jang di sini.

“Daripada 20 atlet itu, hanya lapan atlet, termasuk tiga wanita akan dipilih untuk menyertai pasukan Muay Thai Pahang.

“Pada peringkat Pahang, seramai 21 atlet muay thai akan menjalani latihan sebelum atlet terbaik disenaraikan untuk mewakili Pahang di Sukma Selangor nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN