KUALA TERENGGANU: Sebanyak 17 unit siren amaran banjir di negeri ini diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi banjir tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, JPS juga memastikan semua kemudahan stesen hujan dan stesen paras air berfungsi dengan baik terutama di lokasi berisiko banjir.
Katanya, ketika ini, daerah Setiu mempunyai siren tertinggi iaitu enam unit diikuti Hulu Terengganu (lima unit), Kemaman (dua unit), Besut (dua unit) dan masing-masing satu di Dungun serta Kuala Nerus.
“JPS melakukan kerja penyelenggaraan dan pengujian pada awal Oktober lalu termasuk melakukan kerja baik pulih terhadap siren amaran bunyi yang bermasalah.
“Insya-Allah, semua siren ini dapat berfungsi dengan baik sekali gus membantu penduduk untuk berpindah segera sebaik sahaja amaran dikeluarkan pada waktu banjir nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kemungkinan banjir berlaku lebih awal iaitu pada akhir Oktober disebabkan perubahan iklim global.
Hanafiah berkata, antara kemudahan yang ada ketika ini ialah 10 kamera litar tertutup (CCTV), 64 stesen hujan telemetri dan 15 stesen air telemetri yang dihubungkan dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN).
“Cuma langkah kesedaran kepada orang awam untuk berpindah awal perlu ditingkatkan lagi memandangkan terdapat segelintir penduduk masih ambil mudah dan tidak hiraukan siren amaran,” katanya.-UTUSAN