16 tahun seksa, rumah dinaiki air lima kali setahun

16 tahun seksa, rumah dinaiki air lima kali setahun

ZEKRI Ali menyapu kawasan rumahnya yang terkesan dengan fenomena air pasang besar di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, semalam – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sejak 16 tahun lalu, keluarga Mazlina Mohtar, 46, dari Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis di sini antara yang terkesan teruk setiap kali berlaku fenomena air pasang besar.

Dalam tempoh berkenaan, rumah keluarga tersebut dinaiki air kadangkala sehingga paras paha antara lima hingga enam kali kali setahun sehingga menyebabkan mereka kerugian dan keadaan kediaman pula mengalami kerosakan serta retak.

Katanya, dalam kejadian terbaru pada 17 Oktober dan kelmarin, rumahnya dinaiki air sehingga paras paha menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Apabila rumah sudah kerap dinaiki air, menyebabkan keadaan struktur rumah juga semakin teruk selepas mengalami kerosakan dan retak selain cat mula luntur,” katanya.

Fenomena air pasang besar melanda negeri ini sejak 16 sedan diramal sehingga 22 Oktober ini dengan paras tertinggi air mencecah sehingga 3.7 meter.

Ekoran fenomena tersebut, seramai 468 mangsa membabitkan 158 keluarga dipindahkan di dua PPS di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai.

Tambah Mazlina, mereka sekeluarga terpaksa berdepan kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit ekoran barangan perabot dan elektrik di rumah sering kali musnah.

“Kami sentiasa terancam apabila fenomena air pasang besar ini berlaku, malah haiwan berbisa seperti ular juga pernah masuk ke dalam rumah setelah dibawa arus air,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai fenomena air pasang besar semalam, suami Mazlina, Zekri Ali, 49, berkata, paras air di rumah mereka pada ketika itu naik mendadak sekitar pukul 10 malam.

Bagaimanapun, dia berkata, mereka sekeluarga sempat menyelamatkan dokumen penting dan beberapa barangan lain.

Sementara itu, di Johor, penduduk du Kampung Sungai Ayam, di sini bersyukur kerana fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini tidak disertai hujan sehingga boleh menyebabkan banjir besar.

Amran Satari, 59, berkata, walaupun sudah lali dengan fenomena hampir setiap bulan itu.
Menurutnya, pernah berlaku kira-kira 30 tahun lalu apabila air pasang besar serentak dengan hujan lebat sepanjang malam sehingga menyebabkan penduduk dipindahkan akibat air mencacah paras pinggang memasuki rumah.

“Kejadian air pasang besar ini hanya berlaku antara tiga hingga lima hari dan airnya setinggi paras lutut di atas jalan dan memasuki kawasan kedai penduduk yang berkedudukan rendah sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN