MUMBAI: Polis India menahan dua individu hari ini susulan insiden letupan bunga api yang menyebabkan lebih 100 orang cedera, dengan lapan daripadanya kritikal.
Ketua polis tempatan, Shilpa Dyavaiah berkata, kejadian di kuil Hindu di Nileshwaram, negeri selatan Kerala itu mengakibatkan 154 orang cedera.
Beliau berkata, 97 daripada mangsa kini menerima rawatan di hospital, manakala lapan lagi dilaporkan kritikal.
“Mereka meletupkan bunga api terlalu dekat dengan tempat penyimpanan bunga api lain, menyebabkan letupan dahsyat,” kata Dyavaiah.
Laporan media India yang memetik pegawai berkata, letupan bunga api itu menyebabkan kecederaan pada muka dan tangan orang ramai di sekitar kuil.
Pegawai kerajaan tempatan, K. Inbasekhar berkata, tiada kebenaran diberikan untuk sebarang aktiviti pertunjukan bunga api.
Susulan insiden itu, presiden dan setiausaha kuil ditahan, lapor akhbar The Hindu.
Perhimpunan agama di India mempunyai rekod buruk mengenai insiden maut yang disebabkan oleh kecuaian keselamatan dan kelemahan pengurusan.
Pada 2016, sekurang-kurangnya 112 orang terbunuh dalam satu letupan besar berpunca daripada pertunjukan bunga api di sebuah kuil sempena sambutan tahun baharu Hindu.
India kini bersedia untuk musim bunga api besar menjelang sambutan perayaan cahaya, Diwali, hujung minggu ini.- AFP