15 universiti di China tubuh fakulti bahasa Melayu

15 universiti di China tubuh fakulti bahasa Melayu

PENGERUSI Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin menyampaikan Anugerah Khas Juri Reka Bentuk Laman Sesawang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2004 Peringkat Negeri di Auditorium JPN Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bahasa Melayu berkembang pesat di China apabila sebanyak 15 universiti di negara itu menubuhkan fakulti bahasa Melayu, kata Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd. Salahuddin Mohamad.

Beliau berkata, sewaktu kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke China baru-baru ini, Beijing Foreign Studies University telah menyediakan kerusi pengajian bahasa Melayu atas nama baginda.

Jelasnya, selain China, Thailand juga mempunyai fakulti bahasa Melayu di lapan universitinya.

“Terbaharu Jepun pula telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan fakulti berkenaan di salah sebuah universiti mereka di sana, ada mata pelajaran bahasa Melayu dan ini kita akan perjuangkan.

“DBP telah membantu dengan menghantar beberapa buah buku berkaitan bahasa Melayu dan kita merancang untuk mempertingkatkan pelbagai program dalam memastikan fakulti itu dapat diwujudkan di Jepun.

“Bahasa Melayu yang mereka tuturkan dan belajar bukan dari dialek Indonesia tetapi sebaliknya yang kita gunakan dan ini amat membanggakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2004 Peringkat Negeri di Auditorium Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ayer Keroh di sini, semalam.

Tambah Mohd. Salahuddin, tahun lalu DBP telah menganjurkan pertandingan pidato dalam kalangan 15 universiti di China menggunakan bahasa Melayu dan mendapat sambutan mengalakkan.

“Saya juga amat terkejut pada pembentangan kertas kerja dengan lapan universiti dari China di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya