PETALING JAYA: Seramai 12 pegawai dan anggota polis yang didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani, Kedah, semalam digantung tugas serta-merta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain itu siasatan turut dijalankan terhadap penyelia pegawai dan anggota berkenaan.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Kedah (Datuk Fisol Salleh) untuk menggantung (tugas) pegawai dan anggota ini dengan segera.
“Tindakan mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 akan diambil.
“Penyelia juga akan dipindahkan dari jawatan semasa kerana mereka tidak layak untuk menguruskan anak buah mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin turut mengingatkan anggotanya untuk menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat.
Jelasnya, tugas sebagai pasukan keselamatan untuk menegakkan undang-undang dan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan orang awam.
“Pegawai dan anggota polis harus sentiasa bertindak mengikut undang-undang.
“Tiada kompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati melakukan jenayah dan masalah disiplin,”katanya.
Tegas beliau, pihaknya juga tidak akan melindungi ‘buah buruk’ yang boleh mencemarkan nama pasukan polis dan akan mengambil tindakan tegas.
“Jadikan ini sebagai amaran keras. Pegawai dan anggota polis diberi amanah untuk menegakkan undang-undang, tetapi itu tidak bermakna anda berada di atas undang-undang.
“Kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang terhadap anggota yang didapati melakukan sebarang kesalahan jenayah dan tidak akan berdiam diri,”katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat yang diterima.
“Dalam serbuan berkenaan 31 individu ditahan dan 12 daripadanya adalah pegawai dan anggota polis kerana positif dadah.
“Siasatan lanjut dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani. sampel kedua urin akan diambil dan dihantar ke pihak patalogi hospital bagi proses tahanan kerja,”katanya.- UTUSAN