GUA MUSANG: Sebanyak 10 buah rumah di Kampung Star di sini terjejas akibat banjir kilat menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka.
Banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat lebih tiga jam di kawasan terbabit sejak pukul 6 petang semalam menyebabkan air Sungai Star melimpah seterusnya masuk ke rumah penduduk.
Wakil penduduk, Nik Ahmad Kamil Nik Ramzi, 39, berkata, peningkatan air secara mendadak itu menyebabkan mereka yang terlibat tidak sempat menyelamatkan harta benda.
“Kira-kira pukul 8 malam air mula surut sepenuhnya dan hujan berhenti kira-kira pukul 8.30 malam.
“Setiap kali hujan lebat, penduduk yang tinggal di tepi sungai akan berdepan dengan banjir kilat, namun ini adalah kejadian terburuk pada tahun ini apabila kami tidak sempat menyelamatkan barangan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata selain banjir kilat yang berlaku di Kampung Star hujan lebat juga menyebabkan air melimpah di Jalan Gua Musang-Jeli dekat Ladang Sungai Terah.
Katanya, kira-kira pukul 11.30 malam tadi laluan terbabit masih ditutup kepada semua kenderaan.
“Saya berharap semua penduduk di kawasan DUN Nenggiri untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Penduduk perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya di arah berpindah ke tempat selamat,” katanya.