Zon Bebas Kenderaan Melaka jadi contoh kepada negeri lain

Zon Bebas Kenderaan Melaka jadi contoh kepada negeri lain

NIK NAZMI Nik Ahmad menyampaikan Anugerah Cemerlang Green Impact yang diterima Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh pada Majlis AHM 2024 di sebuah hotel di Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Zon Bebas Kenderaan (ZBK) yang diperkenalkan di Banda Hilir di sini diiktiraf sebagai salah satu alternatif membebaskan bandar daripada pembangunan berorientasikan kenderaan bermotor.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejayaan pelaksanaan selama 54 jam itu bakal diikuti oleh beberapa negeri lain yang telah menyatakan hasrat terhadap komitmen kelestarian, kesejahteraan rakyat dan persekitaran lebih bersih serta sihat.

Beliau berkata, beberapa bandar seperti Pulau Pinang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur turut melaksanakan inisiatif berkenaan tetapi bukan untuk satu tempoh panjang seperti di Melaka.

“Melaka memperkenalkan ZBK selama 54 jam manakala di Kuala Lumpur hanya tiga jam. Saya faham ada beberapa perbezaan.

“Inisiatif ini sebenarnya bukan sahaja dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancongan utama tetapi juga dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG).

“Saya ada dengar ada beberapa negeri tetapi ada hendak laksanakan untuk tempoh yang sekejap, kalau adapun bagi saya mereka perlu lihat lebih mendalam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2024 di sini, semalam.

Mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan Muzium Alam Sekitar pertama di Malaysia, Nik Nazmi berkata, kementerian perlu meneliti perkara itu untuk melihat kebolehlaksanaannya.

“Kita baru terima cadangan ini dan saya difahamkan muzium yang dicadangkan ini adalah seperti Muzium Alam Sekitar di Jepun dan kita akan teliti perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dalam ucapannya menyatakan hasrat kerajaan negeri ingin mewujudkan Muzium Alam Sekitar yang akan menjadi pusat tumpuan pendidikan dan kesedaran menyeluruh mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN