Warga emas maut kereta terjunam dalam sungai di Balok Makmur - Utusan Malaysia

Warga emas maut kereta terjunam dalam sungai di Balok Makmur

WANITA warga emas maut apabila kereta Proton Saga dipandunya terbabas dan menjunam ke dalam sungai di jambatan Balok Makmur di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang wanita warga emas maut apabila kereta jenis Proton Saga dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai ketika melalui jambatan Balok Makmur di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, mangsa, Paridah Dollah, 67, yang beralamat di Taman Inderapura, Jerantut, dekat sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suami mangsa, Abd. Aziz Ahmad, 66, mengalami sesak nafas dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri berkenaan yang merupakan pesara, menaiki kereta Proton Saga berwarna biru dari arah Balok Makmur menghala ke Seberang Balok.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala suami mangsa di bawa ke HTAA untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tambah Wan Mohd. Zahari lagi, hasil siasatan awal juga mendapati punca kemalangan adalah akibat daripada kegagalan mengawal kenderaan.

“Lokasi kejadian merupakan sistem jalan satu lorong dan dua hala, tiada garisan pembahagi jalan serta jalan sempit. Permukaan jambatan rata dan jalan kering. Tahap pencahayaan baik, waktu siang, cuaca baik semasa sampai di tempat kejadian,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya