Warga emas maut dihempap lori ais - Utusan Malaysia

Warga emas maut dihempap lori ais

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang dihempap lori membawa muatan ais yang terbalik di Pekan Kukup Laut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang pekerja jeti terbunuh apabila dihempap sebuah lori membawa muatan ais di Pekan Kukup Laut, dekat sini  kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II,  Mohd. Hasnan Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 6.51 pagi.

Seramai 11 anggota dari BBP Pontian Baru dan sebuah jentera FRT serta sebuah EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer untuk membantu kerja-kerja menyelamat.

Sebaik sahaja pasukan tiba, didapati sebuah lori dengan muatan ais telah terbalik di kawasan jeti tempat penurunan ikan.

“Terdapat seorang mangsa telah terhempap di bawah lori ais tersebut. Kami mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mayat mangsa, Lee Bok Soon, 64, kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan tentang kejadian tersebut dan menyifatkan kes sebagai mati mengejut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN