KUALA PILAH: Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila diserang seekor kerbau dalam kejadian di kawasan kolam penternakan udang di Kampung Jumbang, Seri Menanti di sini, petang kelmarin.
Mangsa, Mohd. Arshad Lebar, 63, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika dia sedang bekerja memberi makan kepada udang yang diternak itu sebelum sekumpulan kerbau masuk ke kawasan kolam berkenaan.
Menurutnya, tidak lama kemudian secara tiba-tiba seekor kerbau telah mengejar dan menyondolnya sehingga dia tercampak ke dalam sebuah kolam yang sudah kering.
“Dalam kolam tu, kerbau itu terus menyondol saya sebelum saya dapat memegang tanduk haiwan itu dan membenamnya ke dalam tanah dan akhirnya saya berjaya melepaskan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Mertang, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Arshad, akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan di mata, dada dan juga di bahagian perut.
“Saya kemudian mendapatkan rawatan dan telah dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah semalam,” katanya yang memberitahu telah bekerja di kolam berkenaan sejak setahun yang lalu
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada hari yang sama.
“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Gunung Pasir terlebih dahulu bagi rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans,” katanya.-UTUSAN.