Wanita maut, lori rempuh lima kereta berhenti di lampu isyarat

Wanita maut, lori rempuh lima kereta berhenti di lampu isyarat

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah lori dan lima buah kereta di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai, Seremban petang tadi.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita maut selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila keretanya dan lima buah kereta lain dirempuh sebuah lori membawa muatan tanah dalam nahas di Nilai di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 3.45 petang di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori tipper jenis Nissan dipandu oleh seorang lelaki berumur 30 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai lorih hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar lima buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah. 

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang wanita berusia 31 tahun telah tersepit di tempat duduk pemandu. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat orang mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza mengalami kecederaan ringan. Pemandu lori dan empat orang yang masing-masing yang menaiki tiga lagi kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mat Ghani, mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban oleh orang awam dan ambulans bagi menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihak bomba mengambil masa 23 minit untuk mengeluarkan mangsa yang maut akibat tersepit dan terperangkap akibat rempuhan lori membawa muatan tanah itu.

“Pihak bomba juga menggunakan bantuan kren bagi usaha mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya yang turut memberitahu operasi tamat pada pukul 7.09 petang,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN