Wanita dihempap kayu balak semakin pulih, jalani hidup seperti biasa

Wanita dihempap kayu balak semakin pulih, jalani hidup seperti biasa

SITI Norelyana Kamarulzaman (tengah) berjalan sambil ditemani ibu serta anak saudaranya semasa ditemui pemberita di Kampung Paloh 3, Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Selepas hampir sebulan bertarung nyawa, wanita yang dihempap kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini pada 9 Julai lalu semakin pulih biarpun terpaksa ditidurkan beberapa kali semasa menjalani rawatan.

Lebih mengejutkan, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, sudah boleh menjalani kehidupan seperti individu normal lain selepas dibenarkan keluar dari hospital pada 7 Ogos lalu walaupun beberapa organ dalamanya seperti hati, paru-paru dan buah pinggang hampir rosak selain patah pada lima batang tulang rusuk serta belakang.

Siti Norelyana mengakui sehingga hari ini dia masih terkejut dengan keajaiban yang berlaku dan tidak pernah menyangka dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Alhamdulillah, berkat doa ahli keluarga, tunang dan seluruh rakyat Malaysia serta tunang, Allah memberikan ruang serta peluang kepada saya untuk terus bernafas dan menikmati kehidupan.

“Apa yang berlaku ini saya rasanya bagaikan mati, hidup semula. Melihat kepada apa yang berlaku, ramai beranggapan peluang untuk saya hidup agak tipis, namun sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, anak keenam daripada tujuh beradik itu turut mengakui masih lagi trauma setiap kali teringatkan peristiwa tersebut.

Katanya, dia akan menjadi lebih takut setiap kali melihat kehadiran lori balak.

“Disebabkan itulah saya terpaksa tinggal di rumah kakak di sini (Paloh 3) kerana rumah ibu di Simpang Aring, Ciku 4 terletak di tepi jalan raya.

“Mengenai, majlis perkahwinan saya dengan tunang Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, yang sepatutnya berlangsung pada Disember ini terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.
Hal ini kerana sehingga sekarang saya masih berada dalam keadaan trauma,” ujarnya.

Sementara itu, ibunya, Miskalsom Domea, 59, berkata, bersyukur melihat anaknya semakin pulih.

“Setiap hari hanya perkataan kritikal tetapi stabil yang keluar dari mulut doktor. Sebagai ibu hanya doa yang mampu saya panjatkan.

“Lebih-lebih lagi ramai yang menyangka umur Siti Norelyana tidak panjang. Alhamdulillah, dia sembuh dan boleh meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan trauma,” ujarnya.

Utusan Malaysia 9 Julai lalu melaporkan, seorang wanita nyaris maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dibawa sebuah lori ketika sedang mengambil selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.23 pagi itu, mangsa, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya