SEREMBAN: Seorang wanita dikenakan hukuman denda sebanyak RM700 oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah membenarkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun memandu kereta dalam kejadian baru-baru ini.
Orang kena saman (OKS), Hasyimah Parameswari Abdullah, 46, yang merupakan seorang pekerja pembersihan itu turut berdepan hukuman penjara tujuh hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Majistret, Marlissa Mohd. Fahmy menjatuhkan hukuman terhadap OKS mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengikut pertuduhan pindaan, wanita berkenaan sebagai pemilik sebuah kereta jenis Toyota Corrola telah membenarkan seorang kanak-kanak yang juga anak lelakinya berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan.
Perbuatan itu berlaku di Jalan Arowana 2 Taman Arowana Impian di sini sekitar pukul lebih kurang 9 malam, 3 September lalu.
Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu hukuman setimpal dapat diberikan sebagai pengajaran dan faktor kepentingan awam.
“Sebagai pemilik kenderaan, ibu kepada kanak-kanak sepatutnya lebih berhati-hati membabitkan gerak geri serta pergerakan anaknya namun OKS telah lalai tanggungjawab untuk pemantauan dan pengawasan kanak-kanak tersebut.
“Kes seperti ini bukan pertama kali berlaku di negara kita dan perbuatan ini sangat berbahaya di mana OKS turut telah membenarkan kanak-kanak tersebut membawa anak jirannya. Tindakan kanak-kanak itu bukan sahaja bahaya pada diri sendiri tetapi juga boleh bahayakan orang lain juga,” kata Pusppa.
Sementara itu, ketika membuat rayuan, wanita itu mohon agar mahkamah meringankan hukuman kerana dia hanya berpendapatan RM1,500 sebagai pekerja pembersihan selain mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah serta suami yang sakit.
Baru-baru ini media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu kereta Toyota Corolla milik ibu bapanya sehingga terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini.
Kereta itu terbabas semasa melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan. Kemudian van tersebut telah menggelongsor ke hadapan dan terlanggar Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.
Bagaimanapun, akibat kemalangan kanak-kanak yang memandu kereta dan penumpangnya iaitu kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga jirannya tidak mengalami kecederaan.-UTUSAN.