JEMPOL: Wang simpanan seorang pesara guru berjumlah RM138,800 lesap selepas terpedaya dengan penipuan ‘panggilan telefon’ oleh ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa iaitu wanita berusia 68 tahun telah tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau di sini kira-kira pukul 3 petang semalam selepas menyedari ditipu.
Menurut beliau, mangsa pada awalnya telah menerima panggilan telefon kira-kira pulul 9.30 pagi, 27 Ogos lalu dari individu menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan dimaklumkan telah membuat pendaftaran ubah suai meter elektrik di kawasan Kuantan, Pahang.
“Mangsa menafikan dan kemudian panggilannya telah disambung kepada individu menyamar anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
“Mangsa dimaklumkan kad pengenalannya antara salah satu daripada 200 kad pengenalan yang ditemui di satu alamat di Pahang.
“Panggilan itu kemudiannya disambung pula kepada individu menyamar sebagai ASP Datuk Yusri Hasan Basri dan mangsa diminta untuk membuat pindahan wang dalam akaun bank kononnya bagi audit memastikan mangsa tidak terlibat dengan penggubahan wang haram,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, mangsa telah mempercayai perkara itu lalu membuat pindahan wang secara berperingkat sebanyak RM138,800 ke dalam beberapa akaun yang diberikan.
Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat mangsa masih lagi diganggu supaya membuat pembayaran tambahan bagi urusan dokumentasi.
“Mangsa yang berasa curiga telah berhubung dengan IPK Pahang yang kemudian memaklumkan mangsa telah ditipu serta disarankan untuk membuat laporan polis,” katanya.