Wacana Industri: Persediaan intelek kerangka latihan industri berkualiti - Utusan Malaysia

Wacana Industri: Persediaan intelek kerangka latihan industri berkualiti

WAN MARINA Wan Mohd. Nowalid (dua dari kanan) berbual dengan penuntut Kolej Komuniti Paya Besar di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Program wacana kerjasama antara kolej komuniti dan pemain industri merupakan strategi pemerkasaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi menerapkan nilai-nilai perkongsian ilmu yang lebih menarik dan berkesan.

Selaras kepakaran yang ada, amalan pengajaran kolaboratif yang dibawa ke dalam program ini mampu mengoptimumkan pengetahuan dan memberikan pendedahan awal tentang perkembangan industri kepada penuntut yang akan menjalani latihan.

Selain itu, perkongsian daripada alumni yang sudah berjaya, menjadi pemangkin dan pembakar semangat para penuntut mengikuti jejak langkah mereka.

Timbalan Pengarah, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Wan Marina Wan Mohd. Nowalid berkata, kerjasama inovatif antara kolej komuniti dan pemain industri memberi pendedahan teknikal kepada tenaga mahir yang profesional dan berautoriti.

“Ia jua dapat membantu meningkatkan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), sekali gus membangunkan sumber tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan serta kompetitif dalam persekitaran perhubungan perusahaan di industri bagi memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

“Pastinya Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti khususnya mensasarkan kolej komuniti untuk menjalinkan jaringan kolaborasi yang luas dengan pihak industri,” katanya pada program wacana industri dan majlis menandatangani dokumen surat niat (LoI) antara Kolej Komuniti Paya Besar dan sembilan rakan industri di Dewan Ibnu Qayyim, Kolej Komuniti Paya Besar di sini.

WAN MARINA Wan Mohd. Nowalid (enam dari kanan) bergambar bersama sembilan pemain industri yang menandatangani dokumen surat niat (LoI) dengan Kolej Komuniti Paya Besar di Dewan Ibnu Qayyim, Kolej Komuniti Paya Besar di Kuantan, Pahang.

Wan Marina dalam pada itu berkata, program Industry On Campus (IOC) merupakan inisiatif bagi penuntut untuk merasai persekitaran sebenar industri dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Beliau berkata, melalui strategi ini, Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan Kolej Komuniti yang menawarkan program TVET mempunyai hubungan yang akrab dan serius dengan pihak industri.

“Selain merapatkan jurang antara kehendak industri dengan sumber tenaga pekerja mahir yang diperlukan negara, IOC jua secara tidak langsung dapat mengekang lambakan pekerja asing malah turut bertindak sebagai pembekal sumber tenaga mahir.

“IOC dilihat mampu menterjemahkan potensinya dalam membangunkan keupayaan, inovasi dan keberkesanan sektor pendidikan tinggi melalui kolaborasi industri dan penerokaan ruang pendidikan yang anjal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN