UTM universiti Asia Tenggara pertama wujudkan Fakulti AI - Utusan Malaysia

UTM universiti Asia Tenggara pertama wujudkan Fakulti AI

ALI Selamat (duduk tengah) melihat proses pendaftaran penuntut baharu di Kolej Rahman Putra, UTM, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai universiti pertama di rantau Asia Tenggara yang menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang dikendalikan seramai 200 tenaga pakar dalam bidang berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Ali Selamat berkata, seramai 101 penuntut perintis fakulti berkenaan terdiri daripada 68 penuntut lelaki dan 33 wanita mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan di kampus Kuala Lumpur mendaftarkan, hari ini.

“Kira-kira 200 tenaga pakar bidang AI UTM telah melakukan penyelidikan dan kajian dalam bidang ini, dengan AI merupakan sumber ekonomi baharu pada masa depan, khususnya dengan kemasukan banyak pelaburan berteknologi tinggi ke negara ini.

“UTM bukan sahaja mahu melahirkan graduan AI bertaraf antarabangsa, malah kita juga menyediakan modul pembelajaran bidang ini yang boleh diadaptasi oleh mana-mana universiti awam lain,” katanya selepas meninjau proses pendaftaran penuntut baharu di Kolej Rahman Putra di UTM Skudai, di sini hari ini.

Katanya, UTM berhasrat  melahirkan lebih ramai pakar bidang AI yang akan menyumbang terhadap pembangunan ekonomi bukan sahaja untuk negara, malah bagi rantau Asia Tenggara.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keupayaan UTM menubuhkan Fakulti AI dalam tempoh empat bulan selepas melihat kepentingan bidang berkenaan terhadap masa depan negara.

Dalam pada itu, Ali memberitahu, seramai 3,154 penuntut baharu mendaftarkan diri di universiti awam berkenaan untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2024/2025, bermula hari ini.

Seramai 2,977 penuntut mendaftar di kampus UTM Skudai, manakala 177 penuntut di kampus UTM Kuala Lumpur.

Seramai 986 daripadanya merupakan penuntut antarabangsa dari 37 negara dengan jumlah tertinggi dari China, iaitu 497 penuntut, diikuti Sudan (140) dan Indonesia (84).

Beliau turut memaklumkan bahawa UTM prihatin terhadap penuntut berkeperluan khas, terutamanya daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,000 sebulan serta pelajar orang kurang upaya (OKU). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN