JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan lebih 500 naskhah buku braille bagi memperluaskan penguasaan ilmu bagi orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak 1998.
Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM, Nor Asikin Mohamad berkata, buku-buku braille yang dihasilkan itu telah diedarkan ke sekolah-sekolah di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Projek transliterasi buku braille ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTM kepada masyarakat.
“Kebelakangan ini, kita mendapat permintaan untuk menghasilkan buku braille melibatkan pendidikan agama Islam dan buku jawi bagi darjah 4, 5 dan 6,” katanya selepas menghadiri program Pentas Budaya Sasterawan Negara: Datuk Dr. Siti Zainon Ismail – Keindahan Adab Sopan dan Gelora Teluk Belanga dan Pelancaran Buku Braille Beraudio di UTM, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Mohd. Salahuddin Mohamed.
Nor Asikin berkata, pihaknya berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak buku braille melibatkan pelbagai bidang ilmu bagi manfaat komuniti OKU penglihatan di negara ini.
“Proses ini bukan sahaja memakan kos tetapi juga masa untuk dihasilkan, ada yang boleh disiapkan dalam tempoh sehari, namun ada yang memakan masa beberapa bulan.
“Selain menghasilkan buku braille, kita juga sedang giat menghasilkan ‘audio book’. Jadi, bagi OKU penglihatan ini, mereka boleh juga pelajari ilmu dengan kaedah mendengar,” katanya.
Sementara itu, Siti Zainon memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak menggunakan perkataan-perkataan Melayu klasik dalam ucapannya.
“Ya, sangat bagus kerana itu membuktikan beliau banyak membaca, secara tidak langsung anak-anak muda juga akan tahu bahawa itu Bahasa Melayu, bukan bahasa Indonesia. Seperti perkataan meluncurkan, itu bahasa lama yang tidak dipedulikan, itu bahasa kita,” jelasnya. – UTUSAN