Usaha pemulihan MAS telah dimulakan, mengambil masa - Anwar - Utusan Malaysia

Usaha pemulihan MAS telah dimulakan, mengambil masa – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha memulihkan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) yang berdepan pelbagai masalah telah dimulakan dan proses itu mengambil masa yang lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan setiap minggu khususnya dalam mesyuarat Kabinet sedang membincangkan untuk menyelamatkan MAS.

Katanya, kemerosotan prestasi MAS disebabkan kesilapan terdahulu akibat keputusan keputusan politik tidak telus dan sekali gus membuka ruang kepada kroni untuk merosakkan syarikat yang pernah dibanggakan selama ini.

Justeru itu katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan MAS kembali unggul sebagai peneraju syarikat penerbangan negara.

“Memandangkan soal Malaysia Airlines menjadi perbincangan hangat dan bahan media, kadang kala keputusan politik tidak telus dan memberikan peluang kepada satu dua kroni menjahanamkan syarikat dibanggakan

“Kerana kesilapan itu, ia terbeban kepada kita sehingga kini, jangan padam kenyataan sejarah itu, keputusan dibuat kerana niat dan tindakan mempertahankan beberapa kroni, meminggirkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Khazanah Nasional di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan beberapa in­siden melibatkan pesawat mi­lik MAS sejak kebelakangan ini menyaksikan imej syarikat pener­bangan negara itu semakin ter­calar sehingga menimbulkan persoalan pelbagai pihak mengenai kredibilitinya.

Insiden terbaharu melibat­kan pesawat MH66 penerba­ngan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan menggunakan armada Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal kelmarin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Khazanah berkata, usaha pemulihan MAS telah dimulakan dan ia mengambil masa untuk mengembalikan agar syarikat kekal unggul dan mencapai prestasi membanggakan.

“Tapi percayalah kerajaan, saya beritahu kepada Khazanah dan Malaysia Airlines, kita kekal komited untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan negara muncul kembali dalam prestasi sebelum ini.

“Usaha memulihkan telah dimulakan, saya ucapkan tahniah, tetapi ia mengambil masa, kerajaan hampir setiap minggu dalam Jemaah Menteri, tiap-tiap minggu kita bicara untuk selamatkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN