Usah jadi ‘api dalam sekam’ demi raih sokongan

Usah jadi ‘api dalam sekam’ demi raih sokongan

MOHD. ALI Mohd. Rustam mengangkat tangan kepada hadirin pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tun Fatimah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menzahirkan kekesalan terhadap sikap segelintir pihak yang umpama ‘api dalam sekam’, sengaja mengadu domba menjadikan sentimen agama dan perkauman sebagai senjata untuk meraih sokongan serta kepentingan tertentu.

Ab. Rauf berkata, pihak terbabit sepatutnya tidak perlu merentap keharmonian dan kesepakatan yang dinikmati rakyat di negeri ini hari ini.

Tegasnya, kepelbagaian kaum bukanlah penghalang untuk seluruh rakyat bersatu, malah ia merupakan hubungan unik saling melengkapi sehingga mampu hidup penuh aman dan sentosa.

“Sesungguhnya, tidak akan berjaya sesuatu bangsa jika tiada kesepaduan dan pemuafakatan yang utuh. Tidak akan terbina sebuah negara yang aman dan makmur jika rakyatnya tidak bersatu.

“Sebab itu, dalam kita menempuhi kehidupan sambil mempersiapkan diri ke alam yang nyata dan kekal, kita perlu bersatu mengikuti segala suruhan Rasulullah sebagai role model (suri teladan) terbaik dalam mengikut ‘ukhuwah insaniyyah’.

“Baginda telah berusaha keras dalam menghapuskan apa juga bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan suatu masa dahulu,” katanya ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tun Fatimah di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam hari ini.

Selepas itu, Mohd. Ali mengetuai perarakan membabitkan 6,398 peserta daripada 121 kontinjen mewakili pelbagai jabatan, agensi kerajaan termasuk pihak swasta, institusi pendidikan, masjid dan sebagainya.

Sambil mengalunkan qasidah dan selawat, kesemua peserta berarak sejauh 3.91 kilometer (km) dan berakhir di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah.

Tambah Ab. Rauf, Sambutan Hari Malaysia hari ini juga memperingatkan tentang hasil usaha penyatuan dan kesepaduan pelbagai pihak sehingga terbentuknya Malaysia yang berdaulat.

“Pemilihan tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah bertepatan dengan semangat dan falsafah yang boleh diambil daripada sirah kejayaan Rasulullah untuk dihayati dan dijadikan panduan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN