SEREMBAN: Apa sahaja undang-undang yang dibuat di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya berkaitan kebersihan awam tidak akan mencapai matlamat jika tindakan penguatkuasaan tidak dibuat dengan tegas.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai undang-undang sememangnya sudah ada di peringkat PBT sejak sekian lama namun isu yang dihadapi adalah tiadanya kesungguhan untuk melakukan penguatkuasaan.
“Paling penting adalah penguatkuasaan, buatlah apa juga undang-undang namun mereka (pelaku) seperti memperolok-olokkan kita, buat undang-undang tetapi tidak nampak keberhasilan. Kena tegas dan bersungguh-sungguh tetapi kalau tiada keberanian dan kesungguhan sampai bila-bila ia akan berulang.
“Undang-undang memang baik, saya harap orang ramai hormat undang-undang namun kalau tiada penguatkuasaan memang tidak bermakna,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega Negeri Sembilan di Taman Sri Mawar, Senawang di sini hari ini.
Aminuddin mengulas mengenai kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini bahawa individu yang masih degil membuang sampah merata-rata akan dikenakan hukuman khidmat sosial.
Menurut Kor Ming, hukuman itu akan diperkenalkan menerusi undang-undang baharu yang sedang digubal pihak kementerian.
Tambahnya, hukuman khidmat sosial itu dilaksanakan selepas melihat tindakan kompaun sebelum ini tidak memberikan kesan.
Sementara itu, Menteri Besar menegaskan, kesedaran mengenai menjaga kebersihan masih tidak dihayati sepenuhnya dalam kalangan masyarakat.
“Sepatutnya program sebegini ini perlu menjadi agenda besar, perlu disambut oleh seluruh peringkat PBT, pihak yang diamanahkan menjaga kebersihan dan penduduk. Jika kita hanya menyerahkan kepada pekerja pembersihan itu merupakan kegagalan.
“Hari ini kita jalan tidak sampai dua kilometer, sampah cukup banyak, botol kaca, botol plastik, sampah kertas, puntung rokok di jalanan, memang tiada kesedaran dalam kalangan rakyat, kita masih jauh ke arah negeri yang bersih,” katanya.-UTUSAN.