Ular sawa 15 kg jatuh dari siling rumah - Utusan Malaysia

Ular sawa 15 kg jatuh dari siling rumah

SEEKOR ular sawa seberat kira-kira 15 kilogram yang terjatuh dari siling sebuah rumah di Rumah Rakyat Padang Lebar, Batu Kikir, Kuala Pilah, semalam.-GAMBAR/IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seekor ular sawa seberat 15 kilogram (kg) terjatuh dari siling sebuah rumah sehingga mengejutkan penghuninya dalam kejadian di Rumah Rakyat Padang Lebar, Batu Kikir, di sini, semalam.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Pilah, Lt. (PA) Mohamad Ghazali Abd. Rahim, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada penduduk pada pukul 9.50 pagi.

Kata beliau, setibanya di lokasi, anggota APM diberitahu bahawa terdapat seekor ular sawa berada di dalam bilik air. 

“Kami difahamkan ketika kejadian terdapat tiga ahli keluarga di rumah berkenaan. Mereka melihat seekor ular sawa bersaiz besar jatuh dari siling rumah.

“Mereka cuba menghalau ular sawa berkenaan keluar dari rumah, namun gagal dan ular berkenaan telah masuk ke dalam bilik air. Bilik air berkenaan kemudiannya ditutup rapat sementara menunggu bantuan tiba,” katanya di sini, hari ini.

Ujar Mohamad Ghazali lagi, ular sawa batik dengan berat kira-kira 15 kilogram itu kelihatan berlingkar di cermin bilik air dan berjaya ditangkap oleh anggota APM.

Menurutnya, ular itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya