Tuntutan Sulu: Keputusan Mahkamah Agung hadiah istimewa buat rakyat Sabah - Utusan Malaysia

Tuntutan Sulu: Keputusan Mahkamah Agung hadiah istimewa buat rakyat Sabah

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda yang menolak rayuan difailkan Kumpulan Sulu merupakan hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan muktamad di Mahkamah Agung Belanda itu adalah berita baik buat seluruh rakyat Sabah.

“Keputusan ini membuktikan Sabah berdaulat dalam Malaysia, sekali gus menamatkan tuntutan dari Kumpulan Sulu yang Sabah tidak pernah iktiraf sejak dari awal lagi.

“PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu serius untuk memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa keputusan oleh Mahkamah Agung Belanda telah menamatkan usaha tuntutan Sulu yang tidak sah terhadap Malaysia.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, PBRS akan terus menyokong segala usaha daripada kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.

Pada Jumaat, Azalina mengumumkan kerajaan Malaysia memperoleh kemenangan penting apabila Mahkamah Agung Belanda memutuskan memihak kepada Malaysia dan menolak sepenuhnya rayuan difailkan oleh Kumpulan Sulu.

Azalina berkata, keputusan muktamad Mahkamah Agung ini sekali gus menamatkan usaha tuntutan Sulu yang tidak sah terhadap Malaysia.

Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Hague menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara yang berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang akan dikuatkuasakan di Belanda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN