KUANTAN: Kejadian tular membabitkan kanak-kanak dan seorang wanita dewasa mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang, Maran, pada 5 September lalu bukan berpunca daripada wabak kencing tikus.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sebaliknya, hasil ujian makmal mendapati penyebab wabak adalah jangkitan Rotavirus.
“Pada 5 September lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang.
“Siasatan lanjut yang dijalankan oleh PKD Maran mendapati sebanyak 16 kes terdiri daripada kanak-kanak berusia 2 hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 27 tahun dilaporkan dalam wabak ini.
“Kesemua kanak-kanak terlibat adalah stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka manakala wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak terlibat dirawat sebagai pesakit luar,” katanya di sini hari ini.
Tambah Rusdi lagi, wabak Rotavirus terbabit berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi.
“Justeru itu, JKNP menasihatkan pihak pengurusan taman rekreasi berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi itu. Ini termasuklah memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat.
“Orang awam juga disarankan untuk mengambil cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, JKNP turut menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi etika kebersihan dengan melupuskan lampin pakai buang bayi dengan cara selamat serta tidak membuang sampah-sarap merata-rata ketika mengunjungi mana-mana taman rekreasi.
“Jabatan ini akan terus memantau perkembangan wabak ini daripada masa ke semasa,” katanya. – UTUSAN