SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan dukacita susulan laporan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak melibatkan sebuah organisasi baru-baru ini.
Tegas baginda, perkara tersebut adalah contoh perbuatan yang tidak seharusnya timbul dan ditonjolkan oleh umat Islam.
“Beta berasa kesal dan dukacita apabila baru-baru ini tersebar berita mengenai sebuah organisasi yang berselindung di sebalik kebajikan Islam dilaporkan telah melakukan penderaan terhadap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka dan juga mengeksploitasi kanak-kanak tersebut sebagai buruh.
“Ini adalah contoh perbuatan yang tidak seharusnya timbul dan ditonjolkan oleh umat Islam. Sebaliknya adalah menjadi satu tanggungjawab dan amanah kepada semua umat Islam untuk menunjukkan nilai-nilai Islam sebenar dalam amalan kehidupan seharian seperti keikhlasan, kejujuran, amanah, keadilan, perpaduan dan persaudaraan, kesederhanaan serta hormat-menghormati,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah demikian ketika mencemar duli ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1446 Hijrah yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini pagi ini.
Turut berangkat hadir mencemar duli ke majlis tersebut ialah, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah lagi, Rasulullah SAW telah diutuskan oleh Allah SWT di dunia ini untuk membina perpaduan dalam kemajmukan masyarakat dengan menitikberatkan pertuturan yang baik serta memberikan teladan dalam setiap perbuatan.
Jelas baginda, sifat kepimpinan yang telah dipamerkan membuktikan bahawa Rasulullah SAW sentiasa memberi keutamaan kepada keadilan sosial, kesaksamaan dan integriti moral dalam masyarakat.
“Oleh itu, semua pemimpin dan segenap rakyat yang beragama Islam di negeri ini perlu terus berganding bahu untuk memperkukuh perpaduan dan persaudaraan serta mengamalkan sikap tolong-menolong dan hormat-menghormati dengan kaum-kaum lain.
“Jika kita menolong orang, mereka akan menolong kita. Jika kita menghormati orang, mereka juga akan menghormati kita,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam ucapannya berkata, menepati dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu Al-Falah Pemacu Malaysia Madani, semua pihak perlu mendoakan pasukan kepemimpinan negara dan negeri ini berjaya membina jiwa rakyat yang merdeka, cerdas, bermaruah, berilmu, beriman dan bertakwa yang merupakan sebahagian daripada ciri-ciri Al-Falah.
“Menerusi konsep Al-Falah, kita seharusnya menerajui pembinaan watak bangsa berkualiti yang pelbagai dalam bingkai kesatuan dengan meninggikan martabat kemanusiaan (Human Dignity atau Karamah Insaniyyah) dalam kehidupan bernegara,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan tahun ini disertai lebih 70 kontinjen melibatkan seramai 5,000 orang peserta dan petugas.-UTUSAN.