Transformasi air, jadi hab dinamik ekonomi negara - Fadillah - Utusan Malaysia

Transformasi air, jadi hab dinamik ekonomi negara – Fadillah

FADILLAH Yusof bersalaman dengan dengan pegawai dan jurutera yang menghadiri Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia 2024 di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan melakukan transformasi bekalan air dalam usaha menjadi sebuah hab dinamik untuk menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan mengadaptasi teknologi pintar dan pendigitalan bagi memudah cara penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan negara.

“Dalam konteks ini, kementerian ini memainkan peranan penting bagi memperkasa tadbir urus air di peringkat pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah pengurusan air bersepadu demi menjamin bekalan air selamat.

“Transformasi sektor air ke arah pengurusan lebih cekap memerlukan sistem maklumat yang berintegrasi bagi memudahkan kerjasama semua pihak. Ini penting bagi melindungi keselamatan air dan kemapanan ekosistem demi masa depan yang baik,” katanya semasa merasmikan Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia 2024 di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr. Ahmad Anuar Othman.

Pada majlis itu beliau turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 25 pemenang inovasi sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

Dalam pada itu, Fadillah dalam satu kenyataan meminta JPS bersiap-siaga menghadapi bencana banjir akibat Monsun Timur Laut yang biasa melanda negara pada November hingga Mac setiap tahun.

“Antara persiapan itu termasuk menaik taraf ban dan tembok penahan banjir, penyelenggaraan kolam takungan banjir, pintu kawalan air, pam tetap dan bergerak, kamera pemantauan serta sistem ramalan dan amaran banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN