MELAKA: Sasaran kedatangan pelancong antara 15 hingga 18 juta orang dijangka mampu dicapai dalam tempoh empat bulan sebelum kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 berakhir pada 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bermula Januari hingga Julai lalu kedatangan pelancong mencecah 8.7 juta orang.
Beliau berkata, berbaki empat bulan sebelum TMM 2024 menutup tirai, kerajaan negeri mengatur pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya sewaktu cuti persekolahan nanti.
“Tumpuan utama sewaktu Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) Ke-11 dan Festival Kesenian ASEAN di Melaka dari 21 hingga 26 Oktober ini.
“Kerajaan negeri begitu yakin sasaran yang kita letakkan untuk mencapai kehadiran pelancong dalam dan luar negara antara 15 hingga 18 juta mampu dicapai. Menjelang AMCA Ke-11 kita menjangkakan lebih ramai pelancong khususnya dari luar negara datang ke Melaka kerana kita sediakan acara kebudayaan ASEAN,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penutup Program Kayuhan Merdeka Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu di sini, semalam yang disertai lebih 1,000 peserta melibatkan kayuhan sejauh 18.5 kilometer (km).
Tambah Abdul Razak, antara acara yang bakal menjadi tumpuan adalah Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024, Kejohanan Regata dan Festival Antarabangsa Sungai Melaka dijadualkan Oktober ini. – UTUSAN