KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 402 kanak-kanak yang diselamatkan mendapati ada di antara mereka ditinggalkan keluarga di rumah amal yang dimiliki Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) sejak berusia 2 tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kanak-kanak itu juga berkemungkinan adalah generasi ketiga atau keempat GISB.
Kata beliau, kanak-kanak ini ditempatkan di rumah amal berkenaan selepas ibu bapa mereka ke Arab Saudi dan Turkiye selama enam tahun.
“Kami percaya ada antara kanak-kanak itu sudah beberapa tahun tidak berjumpa ibu bapa mereka.
“Jadi, kita (polis) sedang menyiasat membabitkan pengabaian kanak-kanak kerana itu satu kesalahan juga,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Mengulas mengenai sama ada tindakan itu atas persetujuan waris untuk meninggalkan anak mereka atau diarahkan oleh kepimpinan GISB, Razarudin berkata ia masih dalam siasatan.
Beliau berkata, sebahagian daripada kanak-kanak yang diselamatkan itu mempunyai dokumen pengenalan diri manakala ada yang tidak.
“Bagaimanapun, kita sedang menyiasat dengan saringan lanjut dan menemu bual penjaga yang ditahan bersama.
“Kami tidak akan berhenti sehingga kami menemukan dokumen berkaitan kanak-kanak itu,” jelasnya.