KOTA BHARU: Polis Kelantan akan mengambil tindakan tegas ke atas pemilik yang memberi pinjam atau sewa kenderaan mereka kepada warga asing.
Pemangku Ketua Polis negeri Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, tindakan itu boleh mengundang pelbagai masalah sekiranya berlaku kemalangan atau kes melibatkan perlakuan jenayah dan sebagainya.
Menurutnya, sepanjang Januari hingga hari ini sebanyak 60 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan kepada pemandu warga asing.
“Ia melibatkan tidak mempunyai lesen memandu, tiada perlindungan insuran, tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar dan sebagainya.
“Warganegara Pakistan, Myanmar, Bangladesh, Thailand dan Indonesia antara yang dikenakan saman berkaitan dengan kesalahan lalu-lintas,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Ali memberitahu, sepanjang tahun lalu sebanyak 167 saman dikeluarkan kepada warganegara asing atas kesalahan lalu-lintas.
Katanya, walaupun kes tersebut dilaporkan terkawal, namun Polis Kelantan mengambil serius perkara ini.-UTUSAN