Tindakan AKSB mahu pelanggan ke Mahkamah bazirkan wang

Tindakan AKSB mahu pelanggan ke Mahkamah bazirkan wang

NIK Saiful Adli Burhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang mahu mengheret 7,270 pelanggannya ke Mahkamah dilihat bakal menambah bebanan kewangan syarikat berkenaan.

Penasihat Undang-undang Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Nik Saiful Adli Burhan berkata, ia melibatkan kos guaman bagi setiap kes dan sudah pastinya satu pembaziran yang bakal menambah tekanan kepada kewangan AKSB.

“Saya rasa tidak ada dalam kalangan 7,270 pengguna itu berhutang dengan AKSB sehingga RM 100,000 dan layak dikenakan kebankrapan oleh mahkamah. 

“Paling tinggi pun, AKSB bakal mendapat Penghakiman Mahkamah sahaja. Jika begitu, adakah tindakan ini memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Saiful yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh memberitahu, AKSB yang merupakan anak syarikat milik penuh kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berusaha membantu meringankan beban dihadapi mereka yang terlibat. 

Katanya, sebelum AKSB mencari ‘dosa’ pelanggan, syarikat berkenaan perlu melihat kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat terlebih dahulu.

“Tawarkan penyelesaian terbaik yang tidak menambahkan lagi beban, bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga bebanan kewangan ke atas AKSB sendiri.

“Tidak cukupkah lagi lebih 270,000 pelanggan AKSB yang membayar setiap bulan kepada AKSB. Kenapa hanya dua peratus pelanggan ini yang dikejar 

“Adakah AKSB boleh menjamin 270,000 pengguna lain menikmati air sebagaimana kualiti dan kadar sepatutnya? Bagaimana pula jika 270,000 ini pula menyaman AKSB? Tindakan undang-undang akhirnya pasti memburukkan lagi keadaan,” ujarnya.

AKSB perlu memainkan peranan dalam membantu rakyat, bukan melihat kepada keuntungan semata-mata.

“Hubungan antara pelanggan dan AKSB adalah suatu kontrak. Kontrak ini bukan sahaja berkaitan dengan bayaran bil semata-mata, tetapi ianya tanggungjawab dua hala, bagi menyempurnakan tanggungjawab kontrak itu sendiri bagi membekalkan air bersih kepada pengguna,” katanya.

Utusan Online semalam melaporkan, kira-kira 7,270 pelanggan Air Kelantan Sdn. Bhd bakal berdepan tindakan undang-undang jika gagal melunaskan tunggakan bil air yang telah dipotong selewat-lewatnya 15 Oktober depan.

AKSB dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya hari ini berkata, jumlah itu melibatkan akaun pengguna dalam tempoh dua tahun iaitu 2022 dan 2023.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN