Tiga lelaki ditahan, jumpa dadah RM5.9 juta dalam kondominium mewah - Utusan Malaysia

Tiga lelaki ditahan, jumpa dadah RM5.9 juta dalam kondominium mewah

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tindakan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM5.9 juta menjadikan kondominium mewah sebagai sebagai stor simpanan bahan terlarang itu terbongkar selepas tiga individu ditahan pada 11 September lalu.

Penahanan kesemua suspek dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama IPK KL dan Narkotik IPD Wangsa Maju dalam dua serbuan di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pada mulanya, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan dalam serbuan pertama pada pukul 4.50 petang.

Lelaki berkenaan ditahan ketika suspek berada di dalam sebuah kereta Proton Saga di kondominium mewah itu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang milik suspek telah menemukan dadah jenis methamphetamine atau syabu anggaran berat 182.9 gram.

“Berpandukan suspek yang juga berperanan sebagai penjaga stor itu kemudian menyerbu sebuah unit di kondominium,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pemeriksaan di unit kondominium itu berjaya kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek kedua iaitu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

Jelas beliau, suspek kedua disyaki berperanan sebagai penghantar atau ‘runner’ untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mereka dengan upah RM3,000 sebulan.

“Hasil serbuan sama, kita telah menemukan 111.23 kilogram (kg) disyaki syabu diikuti ganja (29.06 kg) ; pil ekstasi (7.51 kg) dan Kristal MDA (6.07 kg),” ujarnya.

Beliau menambah, rentetan tangkapan kedua, operasi diteruskan dengan serbuan kedua di sebuah restoran yang terletak di Taman Mutiara di sini pada pukul 5 petang hari yang sama.

“Hasilnya , suspek ketiga iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga berperanan sebagai runner sindiket dengan upah RM3,000 sebulan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyewa kondominium berkenaan dengan kadar bulanan lebih RM2,000 bagi menyimpan dadah yang diperolehi dari sebuah negara jiran dari Utara Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Tambah Kok Chin, sindiket ini dikesan aktif sejak awal Januari ini untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Kata beliau, polis mengesyaki dalang utama sindiket itu masih bebas dan masih memburu saki baki sindiket bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ujar beliau, siasatan juga akan melihat segala aspek termasuk sama ada sindiket berkenaan mempunyai rangkaian dengan kongsi gelap.

“Kita juga menyita wang tunai RM750 dan dua buah kenderaan jenis Nissan Almera dan Proton Saga bernilai RM55,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1988.

“Semakan mendapati kesemua mereka memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Kesemua mereka kini direman selama seminggu bermula 12 hingga 18 September ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN