Tiada aduan, laporan diterima berkaitan GISBH di Johor - Mohd. Fared - Utusan Malaysia

Tiada aduan, laporan diterima berkaitan GISBH di Johor – Mohd. Fared

MOHD. FARED Mohd. Khalid menyampaikan hadiah pada pemenang naayid sempena Majlis Penutupan Majlis Ihtifal IImi Sekolah Menengah Agama Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-10 di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menerima sebarang aduan salah laku berkaitan operasi GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan terhadap pertubuhan tersebut,  termasuk melibatkan operasi perniagaan dan ajaran agama yang diamalkan pengikutnya.

“Alhamdulillah di Johor ketika ini GISBH sentiasa dipantau dengan baik, sangat terkawal. Kita tidak menerima sebarang laporan atau aduan tentang mereka setakat ini.

“Kita tahu mereka berniaga, itu tidak menjadi masalah, yang kita bimbangkan adalah perihal ajaran agama sekiranya ia bertentangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Ke-10 yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini. 

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.

Mohd. Fared berkata, sekiranya ada laporan lama yang diterima pihak berkuasa ia hanya melibatkan pertubuhan lama sebelum ditukar nama kepada GISBH.

“Sehingga 2011 di Johor, cuma ada empat aduan sahaja, semua itu aduan lama melibatkan pertubuhan lama mereka sebelum ia ditukar nama. Keempat-empat aduan itu melibatkan ajaran-ajaran yang terdahulu.

“Sejak pertubuhan baharu ini tiada aduan atau laporan, keadaan sangat terkawal di Johor. Tetapi jika ada ura-ura berkenaan perihal ajaran-ajaran lain, JAINJ sentiasa bersedia untuk membuat tindakan susulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN