KOTA BHARU: Rakyat negeri ini yang berkunjung ke Thailand tidak perlu khuatir kerana negera berkenaan bukan lokasi berisiko terdedah dengan wabak cacar monyet atau Mpox.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr. Zaini Hussin bagaimanapun berkata, tahap keselamatan diri sepanjang berada di negara berkenaan perlu diberikan perhatian dalam sebagai langkah pencegahan.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sudah menjalinkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dengan membuat pemantauan sebagai persediaan awal bagi mengelak penularan wabak itu.
“Walaupun tiada sebarang jangkitan di kesan di Kelantan setakat ini, namun kita sudah menempatkan petugas-petugas di pintu masuk sempadan iaitu Pengkalan Kubor (Tumpat) dan Rantau Panjang (Pasir Mas) setiap hari untuk menjalankan saringan kesihatan ke atas pelancong dari negara berisiko Mpox.
“Negara yang berisiko dengan wabak ini ialah Congo, benua Afrika dan beberapa buah negara lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Dr. Zaini memberitahu, orang ramai khususnya yang pulang dari negara berisiko atau terdedah dengan penyakit tersebut diminta tampil memaklumkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, sekiranya ada kalangan mereka yang mempunyai simptom perlu maklum segera untuk memudahkan pihak KKM membuat pemantauan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, hanya satu kes cacar monyet atau Mpox disahkan positif clade 1 daripada keseluruhan 58 kes wabak itu yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak, dan batuk pada 11 September manakala ruam mula muncul pada 12 September.-UTUSAN