TH wujudkan Rajih tingkatkan kecekapan manasik haji

TH wujudkan Rajih tingkatkan kecekapan manasik haji

MOHD. Na'im Mokhtar (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran MHPK ke-41 di Kota Bharu, Kelantan malam tadi - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lembaga Tabung Haji (TH) dalam proses mewujudkan Pusat Rujukan Ibadat Haji (Rajih) sebagai inisiatif untuk mempertingkatkan kecekapan dan kajian menyeluruh terhadap isu-isu manasik atau cara-cara pelaksanaan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Rajih akan menjadi pusat rujukan bagi semua pembimbing haji yang mengumpulkan sumber-sumber berkaitan termasuk resolusi-resolusi terhasil daripada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK).

“Pada masa sama Rajih memainkan peranan sebagai sebuah pusat latihan bagi meningkatkan kemahiran semua pembimbing haji dalam penyampaian serta pemahaman isu-isu bersifat kontemporari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MHPK ke-41 di sini malam tadi.

Mohd. Na’im memberitahu, semua isu berbangkit dalam operasi haji 1445 Hijrah termasuk rungutan dalam kalangan jemaah, khususnya ketika berada di Mina dibincangkan pada MHKP ke-41.

Katanya, muzakarah juga akan turut membincangkan isu-isu berkaitan talfiq (menerima pendapat mazhab lain secara keseluruhan) serta takhayyur (menerima pendapat mazhab ikut kesesuaian).

“Antara lain MHPK akan membincangkan bila keadaan yang dibenarkan untuk bertukar-tukar mazhab kerana perkara tersebut tidak boleh dilakukan sesuka hati atau mengikut apa yang seseorang jemaah haji rasa mudah.

“Perkara-perkara sebegini kita rasa penting untuk diberi penekanan kepada pembimbing-pembimbing haji kerana kita tidak mahu terlalu mudah sehingga akhirnya ia menjadi lebih kepada mengikut nafsu tanpa mengetahui syarat sebenar,” ujarnya.

Mohd. Na’im berkata, resolusi daripada MHPK ke-41 diharapkan dapat disampaikan kepada jemaah haji 1446 Hijrah agar mereka lebih bersedia dengan ujian dan cabaran yang bakal dihadapi.

“Ibadat haji adalah ujian fizikal dan dibimbangi ketiadaan peringatan atau bimbingan akan memberi kesan kepada jemaah yang mungkin tidak tahan dengan cuaca panas untuk mendapat haji mabrur apabila mereka tiada sifat kesabaran.

“Ini bukan bermaksud saya memberi ruang, peluang atau bersikap ‘defensive’ kepada petugas-petugas haji. Cuma pada masa sama kita perlu ada peringatan serta nasihat yang memberi manfaat,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN