SEREMBAN: Seorang pemuda kini mahu kembali bangkit selepas diuji dengan penyakit angin ahmar separuh badan yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Muhamad Hariz Md Harun, 32, dari Taman Ampangan di sini berkata, sejak terlantar kerana penyakit itu, dia terpaksa bergantung harap daripada adik beradik dan bapanya, Md. Harun Mihat yang sudah berusia 56 tahun.
“Saya hanya terlantar dan tidak mampu bergerak serta makan sendiri. Apa yang penting saya harus ada semangat dan tekad untuk pulih walaupun perlu melalui lagi beberapa sesi fisioterapi untuk memulihkan pergerakan.
“Setakat ini, kaki kiri saya sudah nampak sedikit perubahan dan apabila saya mengikuti sesi fisoterapi yang ditetapkan, ia makin lama makin pulih walaupun mengambil masa.
“Bagaimanapun, untuk uruskan diri sendiri saya tidak mampu lagi kerana anggota badan sebelah kiri terutamanya tangan masih lagi lemah dan tidak dapat bergerak, saya duduk pun masih tidak seimbang,” katanya ketika ditemui di sini.
Muhamad Hariz berkata, kegigihan untuk pulih juga didorong pesanan arwah ibunya, Siti Haidah Mohd. Sahri untuk supaya dia dapat menjaga adik-beradik dan menjadi tonggak keluarga.
“Memanglah sebagai seorang abang, saya harus memikul tanggungjawab tersebut disamping bantu ayah dan adik-adik tetapi apabila diuji dengan penyakit ini, saya perlu reda dengan ketentuan tuhan dan perlu bersemangat untuk segera bangkit dan pulih,” katanya lagi yang pernah bekerja sebagai seorang juruteknik di Pasir Gudang, Johor.
Menurutnya, dia sudah dua tahun tidak bekerja dan bapanya pula hanya berpendapatan sekitar RM1, 500.
“Untuk perbelanjaan saya sahaja termasuk penggunaan lampin pakai buang memerlukan sekitar RM500 sebulan. Belum lagi bayaran setiap sesi fisioterapi yang saya perlu ikuti dan setakat ini saya belum menerima bantuan kewangan dari mana-mana agensi melainkan bantuan dari orang perseorangan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Rakyat bernombor 220211008041 atas nama Md Harun Mihat atau boleh menghubungi nombor 014-918 1749.-UTUSAN