Tengku Muhammad Fakhry cemar duli sambut Maulidur Rasul

Tengku Muhammad Fakhry cemar duli sambut Maulidur Rasul

TENGKU Muhammad Fakhry Petra (dua kiri) berkenan mencemar duli meraikan Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli menyambut Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah bersama rakyat jelata di Masjid Jamek Muhammadi, di sini malam ini.

Baginda yang memakai baju Melayu lengkap bersampin tiba sekitar pukul 7.15 malam dengan disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Dr Hasnan Ramli.

Baginda selepas itu berkenan menunaikan solat Maghrib berjemaah disusuli ceramah khas Maulidur Rasul oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia Zamrie Ibrahim@Musa.

Lebih 1,000 jemaah menghadiri sambutan tersebut yang kemudiannya disusuli upacara berzanji, qasidah dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan disudahi dengan solat Isyak berjemaah.

Pada majlis tersebut, Felo Akademik (Profesor) di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Emeritus Dr. Abdul Samat Musa yang merupakan anak jati Kelantan dinobatkan sebagai Tokoh Imuwan Islam.

Terdahulu, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kelantan diserikan dengan perarakan sambil berselawat melibatkan lima buah kenderaan berhias bersama 500 orang wakil dari lima masjid bandar terpilih dan lima masjid mukim yang mendapat penarafan lima bintang serta orang awam dan pelajar tahfiz al-Quran MAIK.

Perarakan bermula dari Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian ke Dataran Rehal dan dari Dataran Rehal menuju Masjid Jamek Muhammadi membabitkan jarak sejauh kira-kira 6.6 kilometer.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya