PASIR MAS: Seorang tekong darat bertindak melarikan diri dengan meninggalkan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dipandunya di tahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan AM (PGA).
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan pukul 2 petang itu mendapati kesemua PATI gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut mendapati kesemua PATI itu terdiri dari tiga lelaki dan empat perempuan.
“Kesemua PATI itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui Thailand menggunakan jalan yang tidak diwarta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, kesemua PATI itu telah diserahkan ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.-UTUSAN