Tegur sistem pendidikan, beri guru ‘peluang kedua’ - Pakar - Utusan Malaysia

Tegur sistem pendidikan, beri guru ‘peluang kedua’ – Pakar

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memberi ‘peluang kedua’ kepada guru yang dikenakan tindakan tatatertib, diberhentikan atau meletak jawatan secara sukarela kerana menegur sistem pendidikan.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, guru-guru tersebut perlu diberi peluang untuk kembali berkhidmat di sekolah memandangkan mereka menegur perkara yang betul.

Menurut beliau, KPM sudah mengakui bahawa kurikulum pendidikan bermasalah melalui program intervensi yang selama tiga bulan bermula Ogos lepas.

Maka, katanya, tidak adil untuk guru-guru tersebut dikenakan tindakan kerana bersuara mengenai perkara yang benar.

“Saya rasa sedikit terkilan bahawa mereka (guru) ini sudah melakukan apa yang dirasakan betul dan tindakan itu menyebabkan kerjaya mereka ‘hilang’ tetapi pada akhirnya kita mengakui silibus itu memang bermasalah.

“Sepatutnya mereka ini dibawa kembali kepada sistem pendidikan kita kerana mereka menyatakan perkara yang benar dan KPM sendiri mengakui. Pada saya, guru-guru itu menjadi mangsa tindakan kita kerana tidak mahu mendengar pandangan disuarakan,” katanya melalui sebuah klip video yang dimuatnaik di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan, KPM berjaya mengurangkan kepadatan kurikulum sebanyak 50 peratus sejak Mac lalu dalam memudahkan guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, perkara itu dicapai setelah pihaknya melakukan pengemaskinian standard pembelajaran dan standard kandungan bagi topik-topik tertentu melibatkan mata pelajaran Sains dan Matematik.

Mengulas lanjut, Dr Anuar berkata, sikap tidak mahu mengaku salah menyebabkan sistem pendidikan negara menghadapi kerugian apabila kehilangan guru-guru yang benar berwibawa.

Dalam pada itu, beliau mempersoal mengapa sejak 2012 hingga 2023, kerajaan tidak mahu mengakui bahawa kurikulum pendidikan negara bermasalah sedangkan 18,000 dari 20,000 guru mengakui perkara tersebut.

Malah, katanya, ketika itu pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang mendesak dan memberi pandangan.

“Bayangkan selama hampir 10 tahun kita membenarkan silibus atau kurikulum yang bermasalah itu disampaikan dalam sistem pendidikan negara.

“Bayangkan kurikulum bermasalah itu terpaksa disampaikan pada anak-anak kita pada era Covid-19,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya