REMBAU: Seorang anggota bomba bantuan yang videonya tular menangkap ular tedung selar di Kampung Tiga Nenek, Kota, di sini, baru-baru ini rupa-rupanya sudah berpengalaman menangkap lebih 300 ekor ular sejak 10 tahun lalu.
Anggota bomba bantuan berkenaan, Muhammad Azan Ramli, 28, berkata, semuanya bermula sejak usianya 18 tahun apabila dia membawa beberapa individu yang ingin membuat kajian mengenai ular berbisa di sungai.
Jelasnya, ketika itu, bapanya ada menawarkan khidmat bot di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, Melaka dan kumpulan individu berkenaan mahu menggunakan khidmatnya bagi kajian tersebut.
“Apabila ikut mereka dan lihat sendiri mereka mengkaji ular saya jadi berminat. Bermula dari situ, saya telah berdaftar dengan sebuah kelab iaitu Melaka Snake Bike Club (MSBC) untuk mempelajari cara dan kaedah yang tepat menangkap ular.
“Sejak itu, saya sudah mula dipanggil untuk menangkap ular di kampung dan ada kalanya pada musim panas, saya pernah menangkap sehingga lima ekor ular dalam satu hari,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kota, di sini.
Muhammad Azan dalam pada itu berkata, dia tidak menyangka rakaman video di mana dia dan enam anggota bomba yang lain menangkap ular tedung selar sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat 12 kilogram di bawah pembentung longkang itu tular di media sosial.
“Seperti biasa dalam setiap kes khidmat khas membabitkan ular, kesemua anggota akan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap termasuk sarung tangan.
“Kejadian baru-baru ini agak sukar buat kami disebabkan terpaksa masuk ke dalam pembentung berkenaan, kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ulap tedung selar yang agak agresif itu,” katanya.
Menurutnya yang sudah menjadi bomba bantuan sejak November 2017 lagi di Balai Bomba dan Penyelamat Tampin sebelum berpindah ke Kota sejak tiga bulan lalu, dia kini berkongsikan kemahiran yang dimilikinya itu dengan anggota bomba yang lain.
“Khidmat khas menangkap ular yang dilaksanakan bukan hanya membabitkan ular tidak berbisa tetapi juga berbisa serta agresif seperti ular tedung selar dan ular senduk.
“Jadi, saya selalu ingatkan mereka agar jangan terlalu takut ketika berhadapan ular dan juga jangan terlalu berani kerana perangai ular tidak sama. Jadi, kena peka dan lebih berhati-hati,” katanya lagi yang turut memberitahu pernah nyaris terkena serangan ular tedung selar dan dibelit ular sawa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi (PBT), Zaini Saleh berkata, sejak awal tahun hingga kini, sebanyak 79 khidmat khas telah dilaksanakan oleh pasukan bomba di balai berkenaan dengan 50 daripadanya membabitkan khidmat menangkap ular.-UTUSAN.