Tanah perkuburan Islam terancang pertama di Kelantan beroperasi 1 Oktober

Tanah perkuburan Islam terancang pertama di Kelantan beroperasi 1 Oktober

HASNAN Ramli (tengah) menunjukkan gambar Tanah Perkuburan Islam terancang pertama di negeri ini yang dikenali Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Saadah semasa sidang akhbar di Balai Islam, Lundang,Kelantan, hari ini. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tanah perkuburan Islam terancang pertama di Kelantan iaitu Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Saadah yang terletak di Mukim Gual Tinggi, Rantau Panjang akan beroperasi pada 1 Oktober depan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr. Hasnan Ramli berkata, ia merupakan tanah perkuburan Islam terancang pertama di bawah seliaan Maik yang akan disusuli perkuburan kedua di Mukim Tanjung Chat, di sini selepas ini.

Menurutnya, tanah perkuburan terancang itu akan beroperasi pada Ahad sehingga Khamis.

“Waktu operasi tanah perkuburan itu bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, namun ditutup atau cuti pada hari Jumaat dan Sabtu.

“Sekiranya ada keperluan untuk mengebumikan jenazah pada hari cuti, pihak Maik bersedia untuk menimbang permohonan daripada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di Balai Islam, Lundang di sini hari ini 

Hasnan memberitahu, tanah perkuburan dengan keluasan 2.3 hektar itu mampu memuatkan sebanyak 4,552 lot kubur,

Katannya, klasifikasi jenazah yang boleh dikebumikan di situ adalah jenazah lelaki, perempuan, kanak-kanak dan anggota badan. 

“Kesemua jenazah yang dikebumikan disusun mengikut lot kubur secara sistematik dan tersusun mengikut ketetapan pihak Maik.

“Pihak pengurusan Maik juga bersetuju untuk membenarkan empat mukim utama sekitar Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Saadah iaitu Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing), Masjid Mukim Taman Sri Rantau, Masjid Mukim Banggol Kulim dan Masjid Mukim Gual Tinggi untuk mengebumikan jenazah di situ,” ujarnya.

Hasnan berkata, jenazah dari luar mukim berkenaan perlu mendapat kelulusan khas daripada pihak pengurusan Maik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN