Tambahan RM1,000 insentif kontinjen Para Sukma Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Tambahan RM1,000 insentif kontinjen Para Sukma Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (berdiri tengah) bergambar bersama para atlet selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sembilan ke Para Sukan Malaysia (Suma) 21 Sarawak 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Atlet Negeri Sembilan yang memenangi pingat dalam kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) 21 akan menerima tambahan RM1,000 jika kontinjen negeri itu menduduki sekurang-kurangnya tangga ketiga dalam perolehan pingat.

Ia menjadikan pemenang pingat emas memperoleh RM6,000 berbanding insentif sebanyak RM5,000 ketika ini, perak kepada RM4,000 (RM3,000) dan gangsa RM3,000 (RM2,000).     

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tambahan itu adalah satu bentuk motivasi kepada atlet mencatatkan keputusan lebih baik berbanding Para Sukma yang lalu.

“Saya harap tambahan insentif ini mampu mencetus pembakar semangat kepada atlet dan pasukan bersaing dengan lebih gigih.

“Pencapaian yang lebih baik bukan sesuatu yang mustahil dalam sukan dan ia pernah dibuktikan pada masa lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sembilan ke Para Sukma 21 Sarawak 2024 di sini hari ini.

Dalam edisi Para Sukma 20 pada 2022, Negeri Sembilan menduduki tangga ketujuh selepas menggondol 35 pingat iaitu 14 emas, perak (11) dan gangsa (10).

Para SUKMA 21 akan berlangsung di Sarawak selama sembilan hari mulai 20 September ini.

Aminuddin memberitahu, beliau dimaklumkan sasaran pingat emas bagi kontinjen Para Sukma Negeri Sembilan pada tahun ini adalah untuk melepasi 14 pungutan yang diperoleh pada edisi lalu serta menambah baik kedudukan daripada tangga ketujuh.

Katanya, seramai 75 atlet akan mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu ping pong, memanah, boling padang, tenpin boling dan renang.

Jelasnya, kontinjen itu yang akan disertai seramai 44 orang pegawai, jurulatih dan pengiring akan bersaing dalam olahraga, catur, powerlifting, badminton dan boccia. 

“Kontinjen Negeri Sembilan dengan kekuatan seramai 119 orang secara keseluruhannya akan diketuai oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Ahmad Syariffuddin Sarmin,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN