Taman Botanikal Perlis kumpul hampir 80 koleksi tanaman nadir - Utusan Malaysia

Taman Botanikal Perlis kumpul hampir 80 koleksi tanaman nadir

MOHD. Shukri Ramli (tiga dari kanan) meninjau ruang pameran selepas Majlis Perasmian Taman Botanikal Perlis, Jalan Guar Jentik, Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Taman Botanikal Perlis yang dibangunkan di Jalan Guar Jentik, di sini, telah mengumpulkan hampir 80 jenis koleksi tanaman nadir yang semakin pupus.

Antara tanaman nadir yang terdapat di taman berkenaan adalah seperti pokok beruas, muyu, jambu kian, pelbagai jenis pokok kari, avokado dan beberapa lagi.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, semua tanaman berkenaan dijaga bagi mengekalkan manfaatnya dan sebagai usaha kajian berterusan buat generasi akan datang.

“Saya mengharapkan Taman Botanikal ini mampu menjadi salah satu pusat penyelidikan saintifik dan pemuliharaan.

“Selain itu, taman ini juga mampu menjadi pusat pendidikan bagi pembangunan botani, pertanian dan bidang lain yang bersesuaian,” katanya selepas Majlis Perasmian Taman Botanikal Perlis di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Mohd. Shukri turut berkesempatan melawat taman berkenaan yang turut mempunyai beberapa tarikan lain seperti kolam ikan, petting zoo, tapak perkhemahan dan pelbagai lagi.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, beliau juga berkeyakinan taman tersebut mampu menjadi salah satu tarikan baharu di Perlis bersempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) ini.

“Usahakanlah sebaiknya dan ambil segenap peluang sempena TMPs dan Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti. Saya dimaklumkan Kelab Batu Permata Fosil dan Mineral Malaysia ini juga antara rakan strategik Perlis Geopark, maka ambillah peluang sebaiknya bagi membangunkan Taman Botanikal ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Batu Permata, Fosil dan Mineral Malaysia, Dr. Hisham Hashim berkata, taman seluas kira-kira dua hektar itu akan dibuka buat orang awam selepas ini malah beberapa kemudahan tambahan lain akan turut didirikan selepas ini.

“Kita juga cadang untuk membuka kafe di sini dengan menyajikan minuman herba, makanan ringan dan pelbagai lagi buat pengunjung,” katanya.

Tambahnya, pengunjung juga bakal dikenakan caj masuk sekitar antara RM7 hingga RM8 bagi peringkat permulaan operasi taman berkenaan selepas ini.

“Taman ini dapat menjadi salah satu tarikan baharu buat Perlis khususnya bersempena TMPs ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya