KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti popular, Rozita Che Wan, 52, mengakui tindakannya tidak berkongsi gambar atau video mengenai majlis merisik anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, kerana mahu menghormati permintaan keluarga bakal besannya.
Menurut Rozita atau Che Ta, majlis merisik yang berlangsung Ogos lalu berjalan dengan lancar dengan kedua-dua keluarga saling dapat mengenali antara satu sama lain.
“Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar semasa kami sekeluarga datang merisik bakal menantu tempoh hari.
“Cuma saya tak kongsikan gambar atau apa-apa di media sosial kerana mahu menghormati permintaan keluarga di sebelah sana.
“Anak saya pun minta perkara yang sama. Tetapi saya okey sahaja. Kita faham mereka mahukan privasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu, jelas isteri pelakon Zain Saidin ini, pada majlis berkenaan, kedua-dua belah keluarga mengambil kesempatan mengenal dan berbincang mengenai majlis pernikahan anak mereka.
Kata Che Ta lagi, majlis pernikahan Ammar tidak akan dilangsungkan pada tahun ini sebaliknya tahun hadapan berdasarkan persetujuan.
“Kami sudah berbincang, tahun depan akan dilangsungkan. Itu pun selepas majlis pernikahan kakak bakal menantu saya itu dibuat. Saya tak kisah pun, mana-mana yang memudahkan.
“Paling penting, kami semua lega kerana setakat ini semua urusan dipermudahkan-Nya. Saya juga lega kerana keluarga di sebelah sana sangat baik dan memahami, malah juga alim.
“Sebab itu kena kenal-kenal dahulu keluarga masing-masing. Perkara ini penting. Saya juga hadir ke rumah bakal besan dengan keluarga bekas suami,” ujarnya.
Pada awal Ogos lalu, Che Ta mendedahkan bakal menerima menantu pertamanya setelah Ammar menyatakan hasrat mahu berkahwin dengan wanita pilihannya. – UTUSAN