Syor dikemuka Sabah, Sarawak dipertimbang dalam kajian penstabilan harga barangan - Utusan Malaysia

Syor dikemuka Sabah, Sarawak dipertimbang dalam kajian penstabilan harga barangan

ARMIZAN Mohd. Ali (duduk-enam kiri) dan Fadillah Yusof (duduk-tengah) bersama wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang menghadiri mesyuarat JPH Sabah, Sarawak dan WP Labuan di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian dan agensi pusat akan mempertimbangkan dan merujuk inisiatif dan syor-syor yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam melaksana kajian penstabilan harga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata,
perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini turut mengambil maklum mengenai dapatan awal Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang telah dimulakan pada Mei lalu dan dijangka selesai pada November.

Laporan lengkap kajian ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat JPH Sabah, Sarawak dan WP Labuan akan datang yang dijadualkan pada bulan Disember.

Beliau berkata, hasil dan dapatan daripada kajian ini akan dijadikan sebagai asas pertimbangan bagi penambahbaikan inisiatif sedia ada dan juga cadangan inisiatif baharu pada masa akan datang berkaitan penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.

Dalam mengurangkan kebergantungan import sumber makanan bagi industri ternakan, mesyuarat turut bersetuju untuk membangunkan jagung bijian secara bersepadu di Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini adalah perlu untuk mengurangkan kebergantungan import sumber makanan bagi industri ternakan yang selama ini menyumbang kepada faktor kos pengeluaran yang tinggi sekali gus mempengaruhi harga bekalan yang tinggi di pasaran.

“Mesyuarat juga memutuskan supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dilibatkan secara kolaboratif dan holistik melalui Jawatankuasa Industri Jagung Bijian Negara (NGCIC) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata, dalam mesyuarat kali ini, tiga kertas pertimbangan dibentangkan iaitu pembangunan industri jagung bijian oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; inisiatif penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di bawah kerajaan negeri Sabah dan inisiatif penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di bawah kerajaan negeri Sarawak.

Sementara itu, dua kertas makluman telah dibincangkan iaitu Laporan Dapatan Awal (Fasa Interim) bagi Kajian Penstabilan Harga di Sabah dan WP Labuan oleh Universiti Malaysia Sabah(UMS) dan Laporan Dapatan Awal (Fasa Interim) bagi Kajian Penstabilan Harga di Sarawak oleh Universiti Malaysia sarawak (UNIMAS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN